MALAYSIA NO 2 DALAM AKTIVITI CETAK ROMPAK DI ASIA TENGGARA : IRDETO

dvd

Gambar Hiasan

SINGAPURA, 31 Mei – Malaysia berada di tempat kedua selepas Filiphina dalam aktiviti cetak rompak di Asia Tenggara iaitu pada 17 peratus bagi suku pertama tahun 2016, kata Irdeto, sebuah peneraju terkemuka dalam keselamatan digital global.

“Aktiviti pelanunan ini tidak mengambil kira had geografi tradisional dan sempadan. Malah di negara-negara yang memiliki sistem perundangan yang kukuh juga, ia masih belum berupaya melindungi pembekal kandungan,” kata Pengurus Besar & Naib Presiden Irdeto, Asia Tenggara, Jerry Park kepada Bernama dalam satu temu bual di sini hari ini. Pasaran muda seperti Malaysia biasanya mempunyai aktiviti pelanunan cetak rompak yang tinggi khususnya dalam bentuk cakera video digital (DVD), rangkaian persendirian maya (VPN) serta rangkaian rakan ke rakan (P2P).

“Pasaran ini juga memiliki tahap pembayaran yang rendah untuk kandungan,” katanya.

Park berkata penyedia perkhidmatan “over the top” (OTT) terpaksa bersaing dengan laman sesawang dan pembekal yang tidak berlesen dari segi kandungan. Katanya, pasaran di Malaysia, dikuasai oleh Astro, pengendali TV satelit berbayar yang terkemuka yang menawarkan Astro on the Go, sebuah perkhidmatan OTT yang disokong oleh Irdeto sejak 2012.”Memandangkan kami melihat semakin banyak perkhidmatan OTT baharu di Malaysia dan rantau ini, penawaran kandungan serta keselamatan kandungan akan menjadi faktor terpenting bagi membantu peneraju OTT mencipta perbezaan di antara satu sama lain,” katanya.

Irdeto sedang bekerjasama dengan operator media berbayar, pencipta kandungan, pembekal aplikasi perisian dan pengeluar peranti berhubung bagi melindungi aset-aset digital untuk selama 50 tahun.
Ditanya bagaimana Irdeto boleh menjamin keselamatan kandungan reka cipta ini, Park berkata, syarikat itu menyediakan penyelesaian serta perkhidmatan yang membolehkan pemilik dan pembekal kandungan menyampaikan media merentasi semua skrin dan peranti dengan selamat.

Salah satu daripada penyelesaian yang ditawarkan, Irdeto Rights, mampu mengukuhkan model-model perniagaan pembekal kandungan dengan memperkasakan perlindungan kandungan dalam perkhidmatan OTT yang ditawarkan.

“Ini membantu pembekal kandungan untuk memenuhi keperluan pelesenan bagi kandungan premium dan memudahkan operasi OTT merentasi suatu ekosistem yang semakin kompleks,” kata Park.

Sistem penanda forensik Irdeto Tracemark pula membolehkan pemilik kandungan dan pemegang-pemegang lesen mengesan sumber cetak rompak kandungan dengan cepat bagi mengambil langkah sewajarnya untuk menghentikan pengedaran haram.

“Pengguna sering menonton kandungan cetak rompak selepas kecewa program yang mereka suka tidak disediakan di kawasan mereka.”Dengan menggunakan sistem Pengesanan Cetak Rompak Dalam Talian Irdeto, pengusaha akan dapat menggunakan data aktiviti cetak rompak ini bagi melihat apa yang popular di rantau terbabit sebelum mengatur strategi pemerolehan kandungan mereka untuk membolehkan permintaan para pengguna ini dipenuhi,” katanya.

Irdeto sedang menyertai Persidangan dan Pameran Teknologi Maklumat dan Komunikasi Antarabangsa ke-27 (CommunicAsia 2016) yang akan berjalan selama empat hari di sini sehingga 3 Jun.

BERNAMA

Leave a Reply