MASJID, SURAU SELURUH NEGARA AKAN JALANI PEMBERSIHAN DAN NYAHKUMAN – ZULKIFLI

KUALA LUMPUR: Semua masjid dan surau di seluruh negara akan menjalankan operasi pembersihan dan proses ‘nyahkuman’ dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Selain itu, masjid juga akan dijadikan pusat komuniti agihan bantuan bagi asnaf dan kelompok memerlukan yang terjejas akibat COVID-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata ia diputuskan Persidangan Khas Pengerusi-Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Islam Seluruh Malaysia 2020 pada pagi tadi di pejabat beliau di Putrajaya.

Mesyuarat disertai Pengerusi-Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Islam dan wakil di peringkat negeri secara langsung melalui sidang video.

Beliau berkata antara penyelarasan lain yang dipersetujui untuk dilaksanakan di seluruh negara adalah persetujuan berhubung penangguhan aktiviti di surau dan masjid termasuk solat Jumaat dan solat berjemaah.

“Sebahagian daripada peruntukan tabung masjid perlu dimanfaatkan untuk anak-anak kariah, terutamanya di kawasan kampung.

“Jawatankuasa masjid dipertanggungjawabkan untuk mengenalpasti anak kariah tidak berstatus asnaf tetapi memerlukan bantuan bagi memudahkan penyaluran sumbangan.

“Masjid dijadikan sebagai pusat komuniti bagi pengagihan bantuan kepada asnaf dan mereka yang memerlukan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Zulkifli berkata berhubung cadangan pemasangan bacaan al-Quran di masjid sebelum azan, perkara itu akan diperincikan lebih lanjut oleh pihak berkuasa agama negeri masing-masing.

“Semoga usaha seperti ini diganjari pahala oleh Allah SWT. Atas keterlibatan oleh semua pihak, saya ucapkan جزاكم الله خير الجزاء ,” katanya. — AlHijrah Online/ Syed Azwan Syed Ali

Leave a Reply