MAJLIS KESELAMATAN PBB BIMBANG KESAN COVID-19 DI SYRIA

Last Updated on

PBB: Majlis Keselamatan PBB pada Isnin meluahkan kebimbangan mengenai situasi kemanusiaan di Syria dan potensi impak COVID-19 di negara itu yang dibelenggu peperangan.

Agensi berita Xinhua melaporkan majlis itu mengadakan taklimat melalui sidang video mengenai situasi di Syria disampaikan Penolong Setiausaha Agung PBB bagi Hal Ehwal Kemanusiaan, Mark Lowcock dan Wakil Khas PBB ke Syria, Geir Pedersen.

Anggota majlis menegaskan keperluan untuk memastikan tindakan penting bagi menangani penyebaran COVID-19 di Syria dan menyeru semua pihak untuk memastikan bantuan kemanusiaan selamat, berterusan dan terkawal, termasuk bantuan perubatan, di semua wilayah dan kepada semua warga Syria yang memerlukan.

Anggota Majlis Keselamatan PBB juga menyeru semua pihak untuk memastikan tempoh bertenang di seluruh negara itu dan mengesahkan semula pelaksanaan sepenuhnya Resolusi Majlis Keselamatan 2254 dengan visi penyelesaian politik kepada konflik Syria.

Mereka mengambil perhatian mengenai perkembangan terkini berkaitan dengan proses politik Syria dan menyeru semua pihak di Syria untuk terlibat secara konstruktif melalui Jawatankuasa Perlembagaan untuk mencari keamanan berterusan.

Anggota Majlis Keselamatan PBB juga mengulangi pendirian bahawa tiada penyelesaian ketenteraan untuk konflik Syria. Ia hanya dapat diselesaikan melalui proses politik sejajar Resolusi Majlis Keselamatan 2254 PBB.

Anggota majlis keselamatan turut mengesahkan komitmen mereka yang kuat terhadap kedaulatan, kemerdekaan, perpaduan dan integriti di wilayah Syria. — Terjemahan AlHijrah Online/ Zamir Akmal Zambri

Leave a Reply