Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

MFL KURANGKAN DENDA SELANGOR FC, BATALKAN DUA HUKUMAN LAIN

DALAM NEGARA

MFL KURANGKAN DENDA SELANGOR FC, BATALKAN DUA HUKUMAN LAIN

Ahli Lembaga Pengarah MFL “menggunakan budi bicara” untuk membuat pertimbangan semula keputusan sebagai menjunjung kasih dan menghormati titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

KUALA LUMPUR: Hukuman denda kepada Selangor FC dikurangkan daripada RM100,000 ke RM60,000 antara keputusan selepas pertimbangan semula mengikut budi bicara Ahli Lembaga Pengarah Liga Bolasepak Malaysia (MFL) hari ini. 

MFL dalam kenyataan hari ini memaklumkan hukuman pemotongan tiga mata dalam pertandingan Liga Super 2024-2025 yang dikenakan keatas pasukan itu turut dibatalkan, namun jika Selangor FC mengulangi kesalahan sama, maka ia akan dibawa ke jawatankuasa tatatertib dan hukuman lebih tegas dan keras dikenakan.

Selain itu larangan kemasukan penonton ke perlawanan Liga Super minggu ke-14 melibatkan Selangor FC menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya turut ditarik balik, dan penonton akan dibenarkan hadir. 

“Ahli Lembaga Pengarah MFL hari ini menggunakan budi bicara untuk mempertimbangkan semula keputusan dibuat pada 24 Jun ke atas Selangor FC susulan ketidakhadiran kelab itu ke perlawanan Sumbangsih yang juga aksi pertama Liga Super menentang JDT di Stadium Sultan Ibrahim pada 10 Mei lepas. 

“Pertimbangan  semula ini dibuat sebagai menjunjung kasih dan menghormati titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah,” menurut kenyataan itu. 

Namun bayaran pampasan kerugian ditanggung pasukan tuan rumah JDT dan MFL masih dikekalkan, dengan badan induk itu akan mengumpul maklumat dan kos dikemukakan oleh JDT dan Sekretariat MFL, untuk diserahkan kepada Selangor FC bagi semakan dan perbincangan selanjutnya.

Tempoh rayuan diberikan kepada Selangor FC adalah selama tiga hari daripada tarikh surat hari ini dikeluarkan seperti yang termaktub dalam Aturan 4, Kaedah 3, Kaedah-kaedah Badan Penguatkuasa Peraturan, Manual Liga Malaysia.

MFL sebelum ini menjatuhkan empat bentuk hukuman kepada Selangor FC susulan tidak hadir pada perlawanan Piala Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, Johor bulan lepas.

Selangor FC dalam kenyataannya memaklumkan sedang meneliti serta mengkaji semua saluran bersesuaian, bagi mengambil tindakan seterusnya, dengan menjelaskan permohonan penangguhan perlawanan Piala Sumbangsih berlaku susulan kes serangan asid terhadap Faisal Halim pada 5 Mei lepas, dan beberapa insiden lain melibatkan pemain bola sepak tanah air, namun permohonan itu ditolak.

Ketidakhadiran Selangor itu menyaksikan JDT diberikan kemenangan percuma dengan jaringan 3-0 dan mendapat tiga mata bagi aksi Liga Super.

Bagaimanapun Sultan Sharafuddin semalam menzahirkan rasa amat kecewa dan sangat dukacita dengan keputusan MFL serta ahli Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) khususnya Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berhubung denda dan hukuman yang dikenakan terhadap Selangor FC.

Sultan Sharafuddin bertitah baginda amat murka dengan keputusan terbaharu MFL itu, yang dianggap tidak bertanggungjawab, dibuat tanpa ihsan, tidak berperikemanusiaan dan tidak mempamerkan keprihatinan terhadap kezaliman yang berlaku.–AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading