KUALA LUMPUR: Kandungan dalam mimpi bertemu Rasulullah SAW dalam kalangan orang awam tidak boleh dijadikan sebagai hujah dalam menentukan sesuatu hukum atau perkara.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Datuk Dr Nooh Gadot, tafsiran dan takwil mimpi hanya boleh dipelajari oleh golongan yang diberi kelebihan, keistimewaan, keilmuan, hikmah dan basirah (pandangan mata hati) oleh Allah SWT untuk mengetahui rahsia-rahsiaNya.
Dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali ke-36 yang bersidang pada 15 Disember 1994 telah memutuskan bahawa mimpi seorang nabi dan rasul merupakan wahyu yang menjadi hukum adalah benar.
“Mimpi orang ramai di zaman Rasulullah SAW seperti melihat baginda dalam tidur menyamai melihat Rasulullah SAW dalam masa jaga adalah khusus di zaman semasa Baginda masih hidup.
“Mimpi orang Islam selepas wafat Rasulullah SAW maka ia akan berjumpa di akhirat nanti dan akan mendapat syafaat Rasulullah SAW,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Keputusan yang dicapai dalam muzakarah tersebut turut memutuskan mimpi orang Islam ada tiga peringkat; bisikan jiwa, godaan syaitan dan mimpi khabar gembira dari Allah SWT selain mimpi orang bukan Islam perlu ditolak.
Tafsir dan takwil mimpi perlu didatangkan daripada orang yang beramal soleh, bersifat ikhlas, bersikap jujur, amanah, integriti, ketelusan, hikmah yang tinggi dan sentiasa berkata benar terutama jika seseorang itu berada dalam keadaan mengikut sunnah Rasulullah SAW seperti berwuduk sebelum tidur.
“Syarat mempercayai tafsiran mimpi antaranya adalah tidak beriktikad, meyakini dan mempercayai, bahawa tafsiran itu seratus-peratus benar kerana mimpi tidak mengisbatkan apa-apa.
“Tafsiran mimpi tidak bertentangan dengan akidah, syariah dan akhlak Islam serta tidak melanggar hukum Allah yang telah disabit dengan dalil-dalil syarak.
“Tafsir dan takwil berdasarkan tafsiran yang benar dan dipercayai seperti kitab-kitab muktabar, orang-orang yang terkenal dengan kesolehannya, kewarakannya, keilmuannya, jujur, ikhlas, amanah, ketelusan, hikmah dan lestari serta benar pada hatinya, percakapannya, perbuatan dan tindak-tanduknya,” ujarnya.
Selain itu, mimpi bertemu Rasulullah SAW sewajarnya tidak diuar-uarkan kepada umum termasuk ditularkan kepada media bagi mengelakkan sifat riya’, ujub dan takabbur yang boleh mendatangkan fitnah dan kekeliruan kepada masyarakat awam.
Tafsiran mimpi tersebut tidak boleh dieksploitasi sebagai wasilah untuk mendapatkan pengaruh, kepentingan peribadi, sanjungan dalam bentuk pujian atau keuntungan material.
“Rupa paras, sifat fizikal dan sifat peribadi Rasulullah SAW banyak disebutkan dalam hadith yang sahih dan kitab muktabar seperti kitab as-Syamail al-Muhammadiah. Justeru, mimpi seseorang bertemu Rasulullah SAW itu hendaklah bertepatan dengan ciri-ciri dan sifat-sifat Rasulullah SAW tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, Nooh menjelaskan bahawa mimpi bertemu Rasulullah SAW merupakan satu anugerah, rahmat, keistimewaan dan nikmat daripada Allah SWT yang perlu dijaga dan dihayati untuk mendekatkan diri kepada Allah dan Rasulullah SAW.—AlHijrah Online