Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

MKI WARTAKAN GISBH SESAT, MENYELEWENG

DALAM NEGARA

MKI WARTAKAN GISBH SESAT, MENYELEWENG

Ajaran, pegangan dan fahaman GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) termasuk pengikut dan seluruh organisasi yang mempunyai ciri-ciri penyelewengan adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

Sumber Gambar: BERNAMA

KUALA LUMPUR: Ajaran, pegangan dan fahaman GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) termasuk pengikut dan seluruh organisasi yang mempunyai ciri-ciri penyelewengan adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) kali ke-125 membuat keputusan itu yang merangkumi mana-mana orang daripada syarikat, firma, pertubuhan, persatuan atau kumpulan yang mempunyai kaitan dengan GISBH.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah MKI, keputusan tersebut dibuat setelah yakin dan berpuas hati dengan hujah serta fakta yang dikemukakan oleh penyelidik yang membincangkan mengenai Kajian Isu-lsu Akidah, Syariah dan Akhlak (Tasawuf) dalam GISBH.

Berikut ciri-ciri penyelewengan dalam GISBH:

  • Asy-Syeikh Muhammad bin Abdullah As-Suhaimi (Syeikh Muhammad Suhaimi) merupakan Imam Mahdi
  • Asaari bin Muhammad akan muncul bersama Asy Syeikh Muhammad bin Abdullah As-Suhaimi (Syeikh Muhammad Suhaimi) sebagai pembantunya di akhir zaman
  • Asaari bin Muhammad boleh memberi syafaat kepada pengikutnya
  • Air basuhan anggota badan pemimpin dan air rendaman seperti rambut dan janggut pemimpin mempunyai berkat
  • Mengamalkan ekonomi ma’ash yang mempunyai unsur perhambaan yang mana keperluan pengikut akan ditanggung sepenuhnya oleh syarikat dan sebagai balasan, mereka dikehendaki berkhidmat secara sukarela tanpa sebarang upah
  • Mengamalkan Aurad Muhammadiah atau zikir agung yang telah difatwakan sesat.

Dalam pada itu, MKI menegaskan ajaran, pegangan dan fahaman GISBH adalah dilarang untuk berpegang pada, mempercayai, mengajar, menyebarkan, mengamalkan atau menjadi pengikutnya.

Sesiapa yang melakukan perkara tersebut hendaklah bertaubat dengan taubat nasuha, katanya.

“Tiada seorang pun boleh memiliki, menyimpan, menjual, memuat naik, memuat turun, menyebarkan, mengedarkan, menggantungkan atau menerbitkan apa-apa poster, buku, majalah, risalah atau apa-apa bahan bacaan Iain sama ada dicetak, ditaip, ditulis tangan atau dikeluarkan dalam apa-apa bentuk keluaran atau ulangannya, termasuklah apa-apa filem, audio visual, rakaman, laman sesawang, media cetak atau media elektronik yang mengandungi ciri-ciri ajaran, pegangan dan fahaman.

“Mana-mana orang adalah dilarang daripada bersubahat dalam melakukan mana-mana perkara yang dilarang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

MKI juga mencadangkan agensi agama di peringkat persekutuan dan negeri untuk membantu melaksanakan proses istitabah (bertaubat) dan memberikan peruntukan atau pembiayaan yang bersesuaian bagi tujuan tersebut.

JAKIM telah menyembah maklum pandangan hukum tersebut kepada Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah selaku Pengerusi MKI dan seterusnya ke Mesyuarat Majlis Raja-Raja Yang Ke-267 pada 23 hingga 24 Oktober 2024.

“Majlis mengambil maklum mengenai pandangan hukum yang telah dipersetujui dan pihak berkuasa negeri-negeri boleh mempertimbangkan keputusan ini bagi tujuan pewartaan fatwa di negeri masing-masing,” katanya.—AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading