MURAL AGONG, PEMIMPIN DISEMBUR CAT MERAH DAN DICONTENG DENGAN PERKATAAN KEJI

KUALA LUMPUR: Mural gergasi wajah-wajah pemimpin tertinggi negara termasuk Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjadi mangsa vendalisme.

Wajah-wajah individu tersebut disembur dengan cat merah dan diconteng dengan perkataan kesat oleh individu tidak bertanggungjawab.

Mural gergasi tersebut dilaporkan dilukis pada sebuah dinding bangunan rumah kedai di Taman Cahaya Alam, Seksyen U12, Shah Alam.

Video yang tular memaparkan kejadian tidak bermoral itu mengundang kecaman dan kritikan oleh netizen.

“Kita boleh tidak bersetuju dalam politik tapi untuk hasil seni yang baik dan orang yang bekerja untuk kebaikan Malaysia, ini satu penghinaan,” kata salah seorang pengguna Twitter, Farid_ahcheng, pada ruangan balas video tersebut.

Difahamkan mural tersebut kini telah ditutup oleh pihak berwajib dan pihak polis juga dilaporkan telah ke lokasi kejadian.

Mural gergasi tersebut adalah hasil karya tiga pelukis muda iaitu Muhammad Suhaimi Ali, 27, Muhamad Firdaus Nordin, 26 dan Abdul Hadi Ramli, 27.

Al-Sultan Abdullah pada 10 hari lalu juga telah berkenan berangkat melawat mural gergasi berkenaan diiringi Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta anakanda, Tengku Puteri Iman Afzan, Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah dan Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah. — AlHijrah Online

Leave a Reply