MUTASI COVID-19 PUNCA PARAS ANTIBODI MENURUN

Sumber Gambar: AFP

KUALA LUMPUR: Penurunan paras antibodi terhadap COVID-19 dalam tempoh tertentu bukan suatu perkara baharu dan mengejutkan.

Menurut Pakar Perubatan Penyakit Berjangkit, UITM Private Specialist Centre (UPSC), Dr. Yazli Yuhana, perubahan bentuk dan mutasi COVID-19 menyebabkan antibodi terhadap virus itu sukar bertahan lama.

“Contohnya untuk influenza, setiap tahun kita disarankan untuk ambil vaksin influenza kerana setiap tahun bentuk dan ‘perangai’ influenza akan berubah.

“Bentuk virus COVID-19 juga tidak mustahil akan jadi begitu,” katanya ketika dihubungi Berita Alhijrah.

Tambahnya, paras antibodi terhadap COVID-19 meningkat sehingga tempoh enam bulan selepas suntikan lengkap vaksinasi dan selepas itu kadarnya dijangka menurun.

Justeru, suntikan penggalak vaksin atau ‘booster’ dapat membuatkan antibodi sedia ada akan bertahan lebih lama.

“Setelah dapat suntikan vaksin, antibodi akan bertahan sampai tiga bulan pertama yang mungkin kita tidak akan terkena jangkitan sebab antibodi sudah terbentuk, tetapi selepas enam bulan antibodi akan mula berkurangan.

“Selepas selesai dua suntikan vaksin, kita dapatkan lagi suntikan ‘booster’ supaya antibodi dalam badan tidak ‘tidur’ agar dapat bertahan lebih lama dan mampu melawan COVID-19,” katanya.

Sementara itu, tempoh ketahanan antibodi tersebut sukar dijangka kerana COVID-19 merupakan virus baharu dan berbeza dengan virus sebelumnya seperti Sindrom Respiratori Akut Teruk (SARS) dan Sindrom Pernafasan Timur Tengah (MERS).

Tegasnya, selain suntikan imunisasi dan penggalak vaksin, langkah pencegahan juga amat diperlukan seperti pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal.—AlHijrah Online

Leave a Reply