NAMA PEMILIK KELAB KOMEDI DI TTDI DISENARAIHITAMKAN

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menyenaraihitamkan nama pemilik Crack House Comedy Club seumur hidup kerana melanggar syarat lesen yang ditetapkan.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata perniagaan kelab berkenaan dibatalkan berkuat kuasa 30 Julai lepas dan nama pemilik kelab itu disenaraihitamkan selama-lamanya.

Beliau berkata individu berkenaan tidak lagi boleh mendapatkan lesen perniagaan untuk berniaga di ibu kota walaupun menggunakan nama syarikat berlainan atau perniagaan berbeza. 

“Kami (DBKL) sedang memantau beberapa kelab seumpama itu di sekitar ibu negara dan tindakan tegas akan dikenakan terhadap mereka yang ingkar (syarat lesen),” katanya dalam sidang media selepas operasi bersepadu di Pasar Borong Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Pada 10 Julai lepas, Jalaluddin memberitahu premis beroperasi di pinggir bandar Taman Tun Dr Ismail (TTDI) itu beroperasi tanpa lesen yang betul kerana ia hanya mempunyai lesen restoran dan tiada lesen hiburan.

Terdahulu, operasi kelab tersebut digantung sementara susulan satu klip video tular dipercayai menghina agama Islam.

Pengasas dan pemilik bersama kelab berkenaan Mohamad Rizal Johan Van Geyzel, 39, turut didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga tuduhan memuat naik video di tiga platform media sosialnya yang menyentuh isu sensitiviti perkauman pada 22 Julai lepas.–AlHijrah Online

Leave a Reply