PADAH TUNGGANG MOTOR LAJU, PELAJAR PUTUS JARI DAN PATAH TAPAK KAKI

ALOR GAJAH: Seorang pelajar tingkatan empat putus jari kaki dan patah tapak kaki kanan selepas motosikal ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah motosikal lain di Jalan Lubok China, di sini, malam tadi.

Kejadian berlaku kira-kira jam 9 malam itu melibatkan mangsa berusia 16 tahun yang dikatakan menunggang secara laju bersama dua buah motosikal lain.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Arshad Abu berkata, siasatan mendapati pelajar lelaki berkenaan yang menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda dalam perjalanan dari Ramuan China Kechil menghala ke Lubok China.

“Mangsa didakwa menunggang dengan laju dan ada dua motosikal lain bersama yang tidak dapat dipastikan nombor pendaftarannya.

“Secara tiba-tiba, motosikal ditunggang mangsa didakwa memasuki laluan bertentangan dan terlanggar motosikal Modenas Kriss menyebabkan penunggangnya terjatuh,” katanya seperti dilapor media tempatan.

Tambahnya, akibat perlanggaran itu, mangsa putus jari kaki dan patah tapak kaki kanan manakala seorang lagi mangsa disyaki patah kaki dan tangan kanan.

Kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Alor Gajah menaiki ambulans dan dirawat di wad kecemasan selain kedua-dua kenderaan ditahan untuk pemeriksaan PUSPAKOM

Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.—AlHijrah Online

Leave a Reply