PASANGAN KEKASIH MAUT DALAM KERETA

MASJID TANAH: Seorang pelajar perempuan tingkatan empat dan kekasihnya ditemui mati dalam sebuah kereta Perodua Kancil di pekarangan Kompleks Jawatankuasa Penyelaras dan Pembangunan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Ayer Limau, di sini pagi tadi.

Kejadian berlaku kira-kira jam 9.20 pagi itu melibatkan pasangan yang masing-masing berusia 20 dan 16 tahun disahkan maut selepas dipercayai terhidu karbon monoksida.

Timbalan Ketua Polis Melaka Datuk Razali Abu Samah berkata, kedua-dua mereka ditemui lengkap berpakaian di bahagian pemandu dan penumpang hadapan selain kenderaan itu turut diselubung menggunakan kanvas.

Siasatan awal mendapati pasangan itu dipercayai berada di pekarangan berkenaan sejak petang semalam selepas remaja perempuan itu dihantar oleh rakannya untuk bertemu mangsa lelaki yang juga teman lelakinya.

Namun pihaknya tidak mengesan sebarang unsur jenayah yang mana mereka lengkap berpakaian dan kepala remaja perempuan itu dilentokkan di bahu lelaki berkenaan.

“Pasukan perubatan Klinik Kesihatan Masjid Tanah mengesahkan keduanya telah meninggal dunia di tempat kejadian.

“Polis mendapati kereta tersebut berselubung dengan kanvas penutup kereta dan turut dijumpai juga adalah minuman botol dan telefon bimbit kepunyaan si mati,” katanya.

Razali berkata, pihaknya percaya tiada berlaku sebarang perbuatan sumbang dan pasangan itu dipercayai sengaja duduk di kawasan berkenaan dalam keadaan enjin kenderaan dihidupkan sebelum tertidur.

Difahamkan remaja perempuan yang berasal dari Lubok China itu masih bersekolah, manakala remaja lelaki yang berasal dari Kuala Sungai Baru pula baru menamatkan pengajian dari sebuah institut pengajian tinggi (IPT) di Kelantan.

Polis percaya kereta yang merupakan milik bapa mangsa lelaki itu telah kehabisan minyak memandangkan ia dihidupkan dalam tempoh masa yang lama.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Melaka bagi proses bedah siasat.—AlHijrah Online

Leave a Reply