PBB KURANGKAN BANTUAN KE KAWASAN DIKUASAI HOUTHI DI YAMAN

SANA’A: Bantuan kemanusiaan ke kawasan utara Yaman kemungkinan akan dikurangkan bulan depan susulan sekatan kumpulan pemberontak Houthi, kata pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam.

“Ancaman, intimidasi dan sekatan terhadap pekerja bantuan semakin meningkat dalam beberapa bulan kebelakangan ini di kawasan dikuasai Houthi, “kata pegawai PBB yang enggan namanya disiarkan kepada agensi berita Xinhua.

“Kami mengalami penangguhan yang lama untuk mendapatkan permit untuk mengenal pasti mereka yang memerlukan, bantuan perubatan atau memberi bekalan makanan,” katanya.

“Sebab lain adalah manipulasi kepada senarai penerima manfaat dan penolakan (Houthi) untuk membenarkan penggunaan sistem pendaftaran biometrik bagi mencegah penipuan bantuan,” katanya.

DUA KANAK-KANAK YAMAN DUDUK DI ATAS KERETA SORONG YANG PENUH DENGAN BEKALAN YANG DIBEKALKAN OLEH PROGRAM MAKANAN SEDUNIA (WFP) DI SANA’A – SUMBER FOTO: XINHUANET

Sementara itu, Ketua Majlis Koordinasi Hal Ehwal Kemanusiaan dikendalikan Houthi, Abdulmohsen Tawoos berkata dalam kenyataan pada Ahad lalu bahawa “semua tindakan pihak berkuasa di Sana’a bertujuan untuk melindungi organisasi bantuan kemanusiaan dan pekerja mereka.”

“Kami akan berusaha untuk mengatasi semua masalah dan menyediakan semua kemudahan yang diperlukan untuk organisasi kemanusiaan,” kata Tawoos dalam kenyataan itu, yang dilaporkan agensi berita Saba yang dikuasai Houthi.

Yaman dibelenggu perang saudara sejak akhir 2014, apabila Houthi yang disokong Iran menguasai sebahagian besar utara negara itu dan memaksa Kerajaan Yaman pimpinan Presiden Abd-Rabbu Mansour Hadi yang disokong Arab Saudi, keluar dari Sana’a.

Puluhan ribu orang terbunuh, tiga juta rakyat Yaman pula melarikan diri dan negara itu kini di ambang kebuluran akibat perang saudara. — Terjemahan AlHijrah Online

Leave a Reply