PEGAWAI MASJID DAN GURU TAKMIR SELURUH NEGARA KINI DILINDUNGI PERKESO

KUALA LUMPUR: Sejumlah 25,634 orang terdiri daripada imam, bilal, siak, dan guru takmir di seluruh negara kini dilindungi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, inisiatif prihatin itu diperkenal atas prinsip prihatin kerajaan terhadap kebajikan, perlindungan dan keselamatan ke atas golongan ini ketika menjalankan tugas terutamanya dalam situasi Pandemik COVID-19.

“Ini amat bertepatan dengan prinsip Maqasid Syariah dalam usaha memelihara nyawa daripada sebarang kemudaratan.

“Inisiatif Prihatin Rakyat ini melibatkan penerima seramai 25,634 orang yang terdiri daripada 22,504 orang imam, bilal dan siak/ noja/ marbut dan 3,130 orang guru takmir,” katanya pada majlis pelancaran skim tersebut pagi tadi.

Menurut beliau kerajaan memperuntukkan RM5,967,595.20 kepada PERKESO untuk skim caruman tersebut.

Skim itu antaranya merangkumi faedah perubatan, hilang upaya sementara dan kekal, faedah orang tanggungan serta elaun layanan sentiasa.

“Jabatan dan Majlis Agama Islam Negeri (JAIN atau MAIN) dan PERKESO telah mengumpul dan mendaftarkan para imam, bilal, siak /noja/marbut dan guru takmir seramai 25,634 bermula 18 Mac 2021.

“Oleh itu saya mohon JAIN atau MAIN memberi kerjasama untuk memaklumkan perkara ini kepada pihak-pihak yang terlibat dengan skim ini, dan sekiranya terdapat kes yang melibatkan penerima faedah seperti berlaku kemalangan atau kematian supaya segera memaklumkan kepada mana-mana pejabat PERKESO dan JAKIM untuk diambil tindakan yang sewajarnya,” kata Zulkifli.

Ujar beliau pada 11 Mei 2021, seorang imam telah meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di Jengka 25, Jengka, Pahang dan keluarga imam tersebut telah menerima manfaat daripada skim yang telah disediakan oleh pihak PERKESO.

Allahyarham Abdul Hamid Dak yang merupakan imam Masjid Al-Rahmah di Jengka maut dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan pulang ke rumah selepas mengimamkan solat zohor bersama jemaah Jengka, Pahang pada 11 Mei 2021. — AlHijrah Online

Leave a Reply