PELAJAR IPT WARGA ASING DITAHAN MILIKI BAHAN LUCAH KANAK-KANAK

Gambar Fail

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang penuntut antarabangsa kerana disyaki memiliki bahan pornografi kanak-kanak di Seremban, Negeri Sembilan, Isnin lepas.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata penahanan lelaki berumur 24 tahun yang menuntut di sebuah pusat pengajian tinggi itu merupakan hasil kerjasama antara PDRM dengan Biro Siasatan Persekutuan Amerika Syarikat.

Beliau berkata pemeriksaan polis menemukan sejumlah besar bahan pornografi kanak-kanak dalam komputer riba dan telefon bimbit milik lelaki terbabit.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati lelaki terbabit menggunakan aplikasi media sosial untuk berkomunikasi dan memerangkap mangsa serta melakukan ugutan (sextortion) bagi mendapatkan bahan berunsur seksual daripada mangsa yang terdiri daripada kanak-kanak di luar negara.

“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban hari ini untuk dituduh di bawah Seksyen 5 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya dalam kenyataan hari ini.-AlHijrah Online

Leave a Reply