BANGI: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memutuskan untuk mengecualikan yuran pengajian termasuk yuran perkhidmatan kepada pelajar Palestin yang mengambil program prasiswazah dan pascasiswazah.
Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Dr. Mohd Ekhwan Toriman berkata, pengecualian itu tertakluk kepada pelajar semester 1 dan 2 Sesi Akademik 2023/2024 dan tidak termasuk yuran penginapan dan denda yang dikenakan ke atas pelajar.
“Bagi mengurangkan beban pelajar Palestin di Malaysia, Mesyuarat Jemaah Menteri telah bersetuju untuk memberikan Bantuan Sara Hidup dan bantuan fi kursus pengajian atau yuran pengajian kepada pelajar menggunakan peruntukan Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP).
“Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) turut menyalurkan bantuan sara hidup berjumlah RM251,100 kepada 27 pelajar Palestin yang berada di Malaysia dan sedang aktif mengikuti pengajian di UKM,” katanya seperti dilapor media tempatan.
Mohd Ekhwan berkata, setiap pelajar akan mendapat bantuan RM900 sebulan bermula November 2023 hingga Oktober 2024, tertakluk kepada keberadaan mereka di Malaysia dalam tempoh itu.
Jelasnya, warga UKM sentiasa mendoakan kesejahteraan dan kemenangan penduduk Palestin, terutamanya kepada 65 pelajar yang sedang menuntut di universiti itu.
“Atas tanda keprihatinan dan ingatan kami bersama Palestin, kami anjurkan beberapa program termasuklah bacaan doa Qunut Nazilah untuk Palestin di Masjid UKM, perhimpunan aman solidariti Palestin, majlis bacaan Yasin dan kutipan sumbangan Tabung Palestin.
“Semoga bantuan yang diberikan dapat memberi semangat dan meringankan beban kewangan pelajar Palestin dalam meneruskan pengajian masing-masing,” katanya.—AlHijrah Online