PELAN PEMULIHAN NEGARA: SEKTOR SOSIAL DIJANGKA DIBUKA PADA SEPTEMBER

Sumber: BERNAMA

KUALA LUMPUR: Pelan Pemulihan Negara merupakan strategi Malaysia untuk keluar dari pandemik COVID-19 bagi mengembalikan kehidupan harian biasa kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pelan tersebut akan dilaksanakan secara berfasa, berdasarkan data yang bersandarkan kepada tiga indikator utama.

Menurutnya, setiap fasa dijangka mengambil masa dua bulan, dengan pembukaan sektor sosial (termasuk sekolah) secara berperingkat menjelang fasa ketiga yang dijangka bermula September.

“Setiap fasa pelan pemulihan berpaksikan kepada data yang bersandarkan tiga indikator ambang utama untuk beralih dari satu fasa ke fasa seterusnya.

“Indikator terdiri daripada keadaan penularan COVID-19 dalam komuniti berdasarkan bilangan kes jangkitan harian; keupayaan sistem kesihatan awam berdasarkan kadar penggunaan katil di wad unit rawatan rapi (ICU); tahap populasi yang dilindungi berdasarkan peratusan yang lengkap menerima dua dos suntikan vaksin,” dalam perutusan khas, hari ini.

Untuk peralihan dari fasa pertama kepada fasa kedua, purata kes harian COVID-19 perlu menurun di bawah angka 4,000, kapasiti ICU berada di paras sederhana dan populasi rakyat yang telah lengkap menerima dua dos vaksin sebanyak 10 peratus.

Bagi memasuki ke fasa ketiga, kes harian positif perlu dicapai puratanya bawah 2,000, kapasiti ICU pada paras mencukupi dan 40 peratus rakyat Malaysia lengkap menerima dua dos vaksin.

Muhyiddin mengulas, bagi fasa keempat, Malaysia akan melaksanakan pembukaan penuh termasuk sektor sosial, ekonomi jika dapat mencapai 500 kes positif COVID-19 serta kadar vaksinasi rakyat sebanyak 60 peratus.

Perjalanan rentas negeri serta pelancongan domestik akan dibenarkan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, dalam fasa keempat.—AlHijrah Online

Leave a Reply