PEMAIN MAGHRIBI RAI KEJAYAAN KE SUKU AKHIR DENGAN SUJUD SYUKUR

Sumber Gambar: AFP

DOHA: Maghribi membuat kejutan di Piala Dunia 2022 untuk mara ke suku akhir buat kali pertama selepas mengalahkan Sepanyol 3-0 dalam penentuan sepakan penalti, tengah malam tadi.

Aksi yang berlangsung di Stadium Education City itu ditentukan pemenang menerusi sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan seri 0-0 selepas 120 minit permainan.

Kejayaan Maghribi muncul pasukan pertama dari negara Arab mara ke suku akhir Piala Dunia semalam diraikan pemain dengan sujud syukur.

Sumber Gambar: AFP

Penyokong negara itu turut sama meraikan kejayaan tersebut dengan masing-masing bangga mengibarkan bendera Maghribi, malah ada juga yang mengibarkan bendera Palestin sebagai tanda solidariti.

Raja Maghribi Mohammed VI turut memuji pasukan kebangsaan dan mengucapkan tahniah kepada pemain, pasukan teknikal dan juga pengurusan yang sudah memberikan segala-galanya serta memudahkan perjalanan pasukan di sepanjang kejohanan itu, menurut satu kenyataan dari istana.

Sebagai rekod, perlawanan semalam merupakan penampilan kedua Maghribi di peringkat saingan 16 terakhir Piala Dunia.

Kali terakhir pasukan itu ke peringkat saingan 16 terakhir adalah pada 1986.

Maghribi dijadual bertemu Portugal pada peringkat suku akhir Piala Dunia 2022. —AlHijrah Online

Leave a Reply