PEMANDU DISERANG SAWAN, LANGGAR TUJUH KENDERAAN TERMASUK PEJALAN KAKI

PONTIAN: Seorang pemandu dipercayai diserang sawan sebelum melanggar tujuh kenderaan dan seorang pejalan kaki di Jalan Permata 4, Pekan Nanas, di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Pontian Supt Mohammad Shofee Tayib berkata, kejadian melibatkan tujuh kenderaan (lima motosikal dan dua kereta) yang diletakkan di tepi jalan mengalami kerosakan selepas dilanggar, kira-kira jam 7.10 pagi tadi.

Pelanggaran itu juga menyebabkan seorang pejalan kaki yang merupakan seorang wanita mengalami kecederaan di bahagian leher.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah Toyota Vios dari arah Pekan Nanas ke Johor Bahru hilang kawalan dan melanggar tujuh kenderaan dan seorang pejalan kaki.

“Pemandu wanita berusia 25 tahun yang dipercayai diserang sawan ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Kota Masai, Pasir Gudang,” katanya.

Bagaimanapun, pemandu terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan akibat kemalangan.

Mohammad Shofee berkata, mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Pontian untuk rawatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.—AlHijrah Online

Leave a Reply