PEMANGKU RAJA PAHANG PERKENAN BN, PH BENTUK KERAJAAN NEGERI

KUALA LUMPUR: Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah berkenan untuk Barisan Nasional dan Pakatan Harapan membentuk kerajaan negeri Pahang.

Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang Datuk Ahmad Khirrizal Ab. Rahman berkata, Tengku Hassanal hari ini menerima menghadap serta mendengar cadangan, usul serta hasrat pemimpin parti-parti politik terlibat susulan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15.

“Berdasarkan kuasa yang diperuntukkan kepada Raja Pemerintah sebagaimana dinyatakan dalam Bahagian II Perkara 3.(1) Undang-undang Tubuh Kerajaan Pahang, Pemangku Raja Pahang berkenan melantik Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sebagai Menteri Besar Pahang.

“Majlis Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Pahang akan diadakan pada Isnin 28 Nov jam 11 pagi bertempat di Balairung Seri Istana Abu Bakar Pekan Pahang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.—AlHijrah Online

Leave a Reply