PEMBUKAAN KAFA BERMULA 2 OGOS

Last Updated on

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menetapkan pembukaan semula Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) seluruh Malaysia adalah 2 Ogos 2020 (Ahad) bagi negeri kumpulan A dan 3 Ogos 2020 (Isnin) bagi negeri kumpulan B.

Negeri kumpulan A merangkumi Kedah, Johor, Kelantan dan Terengganu manakala kumpulan B Negeri Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Sabah, Sarawak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan & Putrajaya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata tiga model pembelajaran sekolah biasa yang diperkenalkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dikhuatiri akan memberi kesan kepada pengoperasian KAFA, oleh itu penyelarasan perlu dibuat bagi memastikan ia dapat dilaksanakan dengan baik.

“Selaras dengan keputusan KPM tersebut, JAKIM menyedari bahawa pemilihan model sekolah bagi Sekolah Kebangsaan akan memberi kesan kepada pengoperasian KAFA di seluruh negara.

“Sehubungan itu, penyelarasan perlu dibuat di antara Agensi Pelaksana Negeri dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) bagi memastikan KAFA dapat dilaksanakan dengan baik,”kata Zulkifli dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Zulkifli berkata tarikh pembukaan yang sedikit lewat berbanding operasi sekolah biasa juga adalah bagi memastikan persediaan sepenuhnya 5,619 premis KAFA.

“Berdasarkan perbezaan tempoh masa pembukaan semula KAFA dengan pembukaan sekolah rendah, saya berharap pengurusan pembukaan semula KAFA dapat berjalan dengan baik.

“Pihak pentadbir premis KAFA hendaklah memastikan garis panduan pengurusan pembukaan semula sekolah, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan garis panduan pengurusan pembukaan semula KAFA dan JAKIM dipatuhi oleh semua pihak,” katanya.

Beliau berharap dengan persediaan yang rapi oleh semua pihak, pembukaan semula KAFA akan dapat berjalan dengan lancar dan anak-anak kita dapat bersekolah dalam keadaan yang selamat. – AlHijrah Online

Leave a Reply