860,000 KADAR PENGANGGURAN PADA 2020

KUALA LUMPUR: Jabatan Perangkaan mengunjurkan kadar pengangguran di Malaysia adalah sebanyak 5.5% atau 860,000 orang bagi tahun 2020.

Bagaimanapun Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin optimis pasaran buruh dijangka pulih menjelang akhir tahun menerusi pelan-pelan pemulihan ekonomi yang dirancang kerajaan.

“Pasaran buruh dijangka mulai pulih pada akhir tahun ini berikutan langkah kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan yang membolehkan operasi perniagaan dibuka sepenuhnya pada 10 Jun 2020.

“Dalam usaha menangani kadar pengangguran yang semakin meningkat, Kerajaan telah memperuntukkan hampir RM15 bilion melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) untuk dapat membantu hampir 3.3 juta rakyat yang terkesan dengan COVID-19,” kata Muhyiddin ketika sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Muhyiddin berkata kerajaan melalui Majlis Tindakan Ekonomi sedang menyediakan pelan pemulihan ekonomi bagi jangka panjang dan akan dibentangkan pada Oktober 2020.

“Ia akan memberi tumpuan kepada penambahbaikan dalam pasaran buruh, reformasi institusi awam dan kerangka urus tadbir serta pelaksanaan pendigitalan dan Revolusi Perindustrian Keempat,” katanya.

Muhyddin berkata kerajaan juga sedang merangka pelbagai dasar dan strategi khusus untuk menstruktur dan mengukuhkan semula ekonomi serta menangani ketidakseimbangan pembangunan sosioekonomi di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), 2021-2025 yang akan dibentangkan awal tahun 2021. — AlHijrah Online

Leave a Reply