PENEMPATAN ISRAEL DI WILAYAH PALESTIN TETAP TIDAK SAH: EU

ANKARA : Kesatuan Eropah mengulangi pendiriannya bahawa penempatan Israel di atas tanah Palestin adalah haram di bawah undang-undang antarabangsa semalam, demikian menurut laporan agensi berita Anadolu.

“Pendirian Kesatuan Eropah berhubung dasar penempatan Israel di wilayah Palestin yang diduduki adalah jelas dan kekal tidak berubah, semua aktiviti penempatan adalah tidak sah di bawah undang-undang antarabangsa dan menghakis kebolehjayaan penyelesaian dua negara serta prospek bagi keamanan berkekalan seperti ditegaskan Resolusi 2334 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSCR),” menurut Ketua Dasar Luar EU, Federica Mogherini dalam kenyataan.

Kesatuan Eropah menggesa Israel untuk menamatkan semua aktiviti yang selaras dengan obligasinya sebagai kuasa penjajah, katanya.

Mogherini berkata, EU akan terus menyokong keputusan dua hala iaitu “satu-satunya cara realistik dan mampu memenuhi aspirasi hak antara kedua-dua pihak.”

Kenyataan itu dikeluarkan susulan pengumuman Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Mike Pompeo yang mengatakan masalah penempatan Israel di Tebing Barat tidak lagi dilihat sebagai tidak sah.

Menteri Luar Jordan Ayman Safadi turut menyokong pandangan EU melalui ciapan Twitter.

“Penempatan di Palestin adalah satu pelanggaran jelas di bawah undang-undang antarabangsa dan UNSCR.

“Ia adalah satu tindakan tidak sah yang memusnahkan penyelesaian dua negara. Pendirian Jordan mengutuk tindakan itu adalah tidak berubah.

“Kami memberi amaran akan kesan bahaya yang mungkin timbul susulan perubahan pendirian AS berhubung penempatan membabitkan MEPP (Proses Damai Timur Tengah),” katanya.

Dianggarkan 650,000 yahudi Israel kini menetap di lebih 100 penempatan yang dibina sejak 1967 di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur.

Wilayah ini diinginkan rakyat Palestin untuk mewujudkan negara Palestin merdeka di masa akan datang.

Undang-undang antarabangsa melihat Semenanjung Gaza dan Baitulmaqdis Timur sebagai sebuah wilayah yang diduduki dan menyifatkan semua pembinaan penempatan di situ adalah haram. — Terjemahan AlHijrah Online

Leave a Reply