PENGERUSI IKIM MENINGGAL DUNIA

KUALA LUMPUR: Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, 82, meninggal dunia awal pagi hari ini di Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Cheras.

Mantan Ketua Setiausaha Negara itu dilapor menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 1.40 pagi.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali turut mengesahkan pemergian Ahmad Sarji dan menyifatkan ia satu kehilangan besar buat negara.

“Salam takziah buat seluruh keluarga Allahyarham Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid diatas pemergian Allahyarham yang telah meninggal dunia pada 28 Ogos 2021, jam 1.40 pagi.

“Allahyarham merupakan mantan Ketua Setiausaha Negara dari tahun 1990 hingga 1996 dan seorang tokoh pentadbir Perkhidmatan Awam yang amat disegani serta dihormati sewaktu dalam perkhidmatan,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Tun Ahmad Sarji merupakan pengasas dan Pengerusi IKIM pertama yang dilantik pada tahun 1992 sehingga disandang pula oleh bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi yang menjawat jawatan tersebut pada 1 September 2015 hingga 31 Ogos 2018.

Pada 4 Februari 2019, Tun Ahmad Sarji dilantik semula sebagai Pengerusi IKIM.

“Pelantikan Tun Ahmad Sarji telah mengukuhkan lagi prestasi IKIM dalam menjayakan misi dan visi penubuhannya untuk menjadi institusi utama kefahaman Islam bertaraf antarabangsa dengan menjalankan program-program penyelidikan bermanfaat besar, meningkatkan kefahaman Islam yang benar kepada pelbagai lapisan masyarakat dalam dan luar negara serta memberi khidmat perundingan kepada semua pihak melalui saluran media dan ilmiahnya,” kata Unit Perhubungan Korporat IKIM dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan tersebut juga memaklumkan Tun Ahmad Sarji telah dimasukkan ke ICU Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM Cheras akibat komplikasi virus COVID-19 pada 31 Julai 2021.

Dalam pada itu media melaporkan jenazah akan disembahyangkan di Masjid Saidina Umar Al-Khattab di Bukit Damansara pada jam 11 pagi sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara. – AlHijrah Online

Leave a Reply