PENGGUNAAN KATIL PESAKIT COVID-19 BAWAH 12 TAHUN MENINGKAT

KUALA LUMPUR: Sejumlah 50,826 kanak-kanak berusia bawah 12 tahun disahkan positif COVID-19 bermula awal Januari sehingga pertengahan Februari lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata sebanyak 15,817 kes atau 31.12 peratus kanak-kanak dijangkiti kategori satu diikuti kategori dua (34,857 kes), kategori tiga (120 kes), kategori empat (28 kes) dan kategori lima (empat kes).

Beliau berkata, pola penggunaan katil harian pesakit COVID-19 dalam kalangan kanak-kanak bawah 12 tahun didapati semakin meningkat seiring dengan kenaikan kes pandemik dalam negara.

“Peningkatan dilihat lebih ketara dalam Februari 2022, terutama bagi kategori dua hingga kategori lima.

“Ia mungkin disebabkan penularan varian Omicron serta peningkatan pergerakan kanak-kanak dalam komuniti susulan pembukaan semula sesi persekolahan, pusat jagaan kanak-kanak dan bayi, sekali gus menyebabkan risiko pendedahan kepada jangkitan COVID-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Noorhisham berkata, meskipun gejala jangkitan COVID-19 dalam kalangan kanak-kanak kebiasaannya kurang serius berbanding dewasa, namun terdapat juga kes yang memerlukan rawatan di hospital dan sebilangannya memerlukan rawatan intensif di Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Antara gejala yang sering dialami kanak-kanak yang dijangkiti virus itu adalah batuk dan selsema berterusan melebihi seminggu, bernafas laju, kurang aktif, kurang selera makan, demam yang berterusan dan muntah atau cirit-birit.

“Dalam keadaan yang lebih serius, kanak-kanak boleh mengalami sakit dada atau sakit perut, kurang tahap kesedaran dan juga sawan,” katanya.

Ujarnya, Multi System Inflammatory Syndrome in Children (MIS-C) adalah salah satu keadaan kritikal yang boleh berlaku akibat jangkitan COVID-19, iaitu terjadinya keradangan organ dalaman terutama jantung, paru-paru dan otak.

Sehingga kini, tujuh kes bersamaan empat peratus kematian kanak-kanak telah disebabkan oleh MIS-C susulan jangkitan COVID-19.

Tambahnya, kanak-kanak juga berisiko mendapat Long-COVID (sindrom COVID-19 selepas fasa akut jangkitan).

“Kumpulan kanak-kanak yang berisiko tinggi untuk mengalami jangkitan COVID-19 yang serius adalah golongan pesakit kanak-kanak yang mempunyai penyakit paru-paru kronik, penyakit jantung, lemah sistem imun badan, kencing manis, sedang menjalani rawatan menggunakan steroid (seperti pesakit autoimun dan transplan), kanser, asma, dan obesitI,” katanya.

Noorhisham berkata, memandangkan kanak-kanak kini merupakan golongan yang berisiko tinggi untuk dijangkiti COVID-19, antara kaedah utama bagi mengurangkan risiko ini adalah dengan kawalan kendiri dan juga vaksinasi.

Katanya, vaksin COVID-19 Comirnaty (Pfizer-BioNTech) telahpun diluluskan penggunaannya untuk kanak-kanak 5 sehingga 11 tahun di Malaysia.

“Dari kajian klinikal, keberkesanan vaksin ini adalah sebanyak 91 peratus serta berupaya untuk meningkatkan tindakbalas imun yang tinggi terhadap penyakit COVID-19 sekaligus dapat mengurangkan risiko penyakit COVID-19 yang serius,” katanya.

Tambah beeliau, pemberian vaksin kepada golongan kanak-kanak yang berusia 5 hingga 11 tahun ini adalah tepat pada masanya untuk melindungi kumpulan ini khususnya kanak-kanak yang mempunyai komorbid. –AlHijrah Online

Leave a Reply