PASANGAN KEKASIH PANDU LAWAN ARUS DITAHAN

LANGKAWI: Polis berjaya menahan sepasang kekasih warga tempatan yang cuba meloloskan diri daripada pemeriksaan polis dengan memandu secara melawan arus.

Dalam kejadian jam 7 malam itu, kereta Toyota Avanza yang dinaiki pasangan terbabit dipandu laju secara melawan arus hingga merempuh beberapa kenderaan lain sebelum terbabas ke dalam parit di Jalan Padang Matsirat, di sini.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, kejadian berlaku ketika sepasukan polis dari Bahagian Narkotik Daerah (BSJND) Langkawi melakukan tugasan Ops Tapis berhampiran Pusat Perdagangan Kelana Mas.

“Menyedari kehadiran pasukan polis, kenderaan tersebut bertindak memecut dan telah melanggar beberapa kenderaan lain.

“Kenderaan suspek seterusnya menghala ke Jalan Padang Matsirat dan ekoran itu berlaku kejadian kejar mengejar dengan pihak polis sehingga kenderaan tersebut dipandu melawan arus lalu terbabas ke dalam parit di tepi jalan tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pemeriksaan ke atas kenderaan tersebut tidak menemukan barang yang melanggar undang-undang namun suspek lelaki berusia 42 tahun tersebut didapati positif dadah jenis morfin, manakala pasangannya yang berusia 34 tahun positif dadah jenis methamphetamine selepas ujian air kencing dilakukan

Kedua-dua suspek disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sejak semalam tular video kejadian terbabit yang menunjukkan sebuah kereta Toyota Avanza dipandu secara melawan arus dikejar sebuah kereta peronda polis.

Terdapat juga video lain yang dikongsikan menunjukkan kenderaan tersebut telah terbabas di Jalan Padang Matsirat, dekat sini semalam. –AlHijrah Online

Leave a Reply