PENGIKUT AJARAN SESAT ‘SI HULK’ LARI KE LUAR NEGARA

JOHOR BAHRU: Individu yang mengaku sebagai pengikut ajaran sesat Si Hulk menerusi beberapa video tular di media sosial, dipercayai berada di New Zealand.
Exco Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, tindakan penguatkuasaan adalah sukar berikutan individu terlibat berada di luar negara.
“Sebahagian daripada pengikut agama Si Hulk dikatakan telah melarikan diri ke luar negara, ini adalah tindakan pengecut.
“Orang yang memburukkan, menyimpang daripada agama ini memang itulah sifat mereka yang menyebarkan keburukan dan kebatilan, sebab itu mereka tidak berani dan melarikan diri,” katanya semasa mengulas isu video tular penganut Si Hulk baru-baru ini.
Sebelum ini, tular video memaparkan lima sekeluarga termasuk ibu dan bapa, yang membuat pengakuan ajaran sesat Si Hulk dengan menyatakan bahawa Allah itu Nabi Muhammad SAW.
Bagaimanapun, Mohd Fared berkata tangkapan terhadap individu terlibat boleh dibuat mengikut undang-undang sedia ada, sekiranya mereka pulang ke Malaysia.
Dalam pada itu, kerajaan negeri Johor menerusi Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) akan berkerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi membendung penyebaran ajaran sesat Si Hulk.
Antara langkah awal yang dibuat adalah untuk menyekat penyebaran video-video oleh golongan terbabit, katanya.—AlHijrah Online