PENINGKATAN KES COVID-19 MEMBIMBANGKAN

PUTRAJAYA: Situasi semasa COVID-19 di Malaysia kini membimbangkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kebelakangan ini jumlah kes harian meningkat terutama kes penularan di dalam negara.

“Sebelum ini, jumlah kes aktif telah menurun kepada 63 kes pada 9 Julai, namun ia mula meningkat kembali melebihi 100 kes pada 19 Julai lalu

“Kini angka tersebut mencecah 130 kes,” katanya pada sidang media perkembangan terkini COVID-19 di Putrajaya.

Dr Noor Hisham memaklumkan 15 lagi kes positif dilaporkan hari ini dengan 11 daripadanya adalah penularan di dalam negara.

Seramai tujuh pesakit dilaporkan sembuh hari ini dan tiada kematian direkodkan.

Dalam pada itu Dr Noor Hisham turut melaporkan satu kluster baharu hari ini iaitu ‘Kluster Sentosa’ melibatkan sebuah Hospital di Kuching, Sarawak.

Ujarnya, sehingga hari ini terdapat 19 kluster COVID-19 di Malaysia dengan 13 daripadanya diumumkan dalam tempoh 10 hari kebelakangan ini. — Alhijrah Online / Zaim Zamani

Leave a Reply