PENIPUAN UMRAH PARAH?
311 KES PENIPUAN UMRAH, RM10.8 JUTA NILAI KERUGIAN DICATATKAN DARI 2014 HINGGA 2018

Laporan khas oleh Syed Azwan Syed Ali/ syed.azwan@tvalhijrah.com
KUALA LUMPUR: Ada dibuang kerja kerana kerap mengambil cuti akibat penangguhan, ada mangsa yang jatuh sakit dan ada juga mangsa penipuan umrah yang sudah meninggal dunia.
Ini nasib malang menimpa sebahagian 250 mangsa penipuan pakej umrah di PPR Kerinchi, Lembah Pantai di sini. Mereka antara ribuan mangsa penipuan membabitkan ibadah umat Islam itu pada tahun lalu.
Mereka sepatutnya menunaikan ibadah umrah di Makkah pada Oktober tahun lalu, namun setahun berlalu dengan kepahitan apabila mangsa yang rata-ratanya adalah pesara, surirumah, ibu tunggal dan warga emas, menjadi mangsa penipuan.
Mangsa terpedaya dengan harga pakej umrah rendah yang menggunakan seorang penduduk tempatan bergelar haji, dipercayai diperdayakan individu atau syarikat pengendali umrah terbabit, untuk menarik penyertaan orang ramai dalam pakej umrah itu.
Penipuan itu dipercayai bermula sejak 2015 apabila pihak yang sama dikatakan membawa sebilangan kecil jemaah umrah dengan hanya mengenakan bayaran RM500 bagi setiap individu di kawasan sama.
Pada tahun berikutnya (2016), seramai 40 orang jemaah dikenakan bayaran RM1,000 setiap individu dibawa ke Tanah Suci sebelum pihak terbabit membawa sekumpulan lagi jemaah pada tahun 2017 dengan bayaran RM3,800 seorang.
Ketika itu, penduduk di kawasan terbabit merasa yakin yang pakej umrah ini ditaja seorang yang bergelar “dato” sehinggalah pihak terbabit mengenakan bayaran RM1,500 setiap jemaah pada 2018, yang mana turut menyasarkan bilangan jemaah ramai. Ketika inilah penipuan umrah licik berlaku!
“Pakej umrah ini tidak diiklan,” kata seorang mangsa berusia 70 tahun bergelar haji yang diperdayakan untuk bertindak sebagai ejen mengutip bayaran jemaah umrah di kawasan PPR Kerinchi.
Beliau yang enggan namanya disiarkan, tidak menyangka langsung yang pihak terbabit akan menipu berdasarkan tindakan mereka yang telah membawa jemaah umrah ke Makkah dengan bayaran serendah RM500 empat tahun lalu.

Malah pesara kerajaan itu menyatakan dia antara individu diterbangkan ke Makkah menunaikan umrah pada 2015 dengan bayaran RM500 dengan kos selebihnya ditaja pihak tertentu.
Namun selepas beliau berjaya mengumpulkan 250 bakal jemaah umrah dengan bayaran RM1,500 setiap kepala, syarikat yang mengadakan kursus umrah beberapa kali bagi mengaburi mangsa, mula menunjukkan belang sebenar dengan menangguhkan penerbangan ke Makkah.
Jemaah sepatutnya diterbangkan ke Tanah Suci pada Oktober, namun pada 19 Disember 2018, pihak terbabit menyatakan pakej umrah dibatalkan tanpa alasan kukuh dan gagal memulangkan wang sehingga ke hari ini.
Hanya 35 orang daripada 250 mangsa penipuan pakej umrah itu menerima kembali wang dibayar dengan selebihnya masih mengharapkan pihak terbabit memulangkan wang mereka.
“Pada pandangan saya ini kes tipu. Tipu pula bukan orang berjawatan tinggi, tapi orang pencen, ibu tunggal,” kata pesara kerajaan berasal dari Kedah itu yang menyedari beliau dipergunakan untuk menipu mangsa lain selepas syarikat membatalkan pakej umrah tanpa alasan kukuh pada hujung 2018.
Walaupun mengakui apa yang berlaku adalah satu bentuk penipuan, beliau masih berharap pihak pengurusan memulangkan semula wang mangsa kerana majoriti mereka adalah dalam kalangan orang susah.

Statistik terkini Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkaitan penipuan pakej umrah dan ziarah yang diperoleh AlHijrah Online menunjukkan 311 kes penipuan membabitkan kerugian RM10.8 juta dicatatkan dari 2014 hingga 2018.
Jika diteliti, trend penipuan umrah adalah semakin parah apabila mencatat peningkatan daripada 64 kes pada 2014 kepada 104 kes pada 2018.
Hal ini amat membimbangkan selepas Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) baru saja memansuhkan Lesen Khas Umrah (LKU) pada 1 September lalu bagi membolehkan lebih ramai ejen mengendalikan pakej umrah dengan kelonggaran syarat lesen khas itu.

Seorang surirumah yang juga enggan mendedahkan namanya berkata, beliau tidak menyangka ianya satu penipuan berdasarkan rekod pihak terbabit yang membawa jemaah umrah pada tahun-tahun sebelumnya.
“Bila saya dengar tawaran RM1,500 memang rugi kalau tak pergi. Jadi saya terima (pakej umrah). Kursus (umrah) dah masuk 11 kali, dah buat kenduri dan beli kelengkapan umrah, tiba-tiba tak jadi,” katanya yang membayar RM3,000 bagi dirinya dan bapanya untuk pakej umrah itu.
Surirumah yang mempunyai empat anak itu bersetuju penipuan umrah itu menggunakan kedaifan umat Islam terhadap ibadah umrah.
“Benda ini tak patut berlaku sebab kasihan dekat orang susah. Ada yang isterinya sakit kanser nak operate tiada duit, yang hidup itu nak pergi, dah meninggal. Lepas itu kitorang semua dah buat solat hajat semua supaya dipermudahkan pergi ke sana (tanah suci), tiba-tiba tak jadi,” katanya terkilan.
Beliau mendakwa ada dalam kalangan mangsa penipuan umrah yang dibuang kerja majikan yang tidak percaya dengan penangguhan umrah itu.
“Kita ini orang Islam, tak elok buat orang Islam macam itu (menipu). Berpegang kepada (janji), bercakap benar dan jangan ambil duit orang senang-senang,” katanya yang belum menerima wangnya kembali sejak ditipu setahun lalu.

Seorang warga emas yang mahu dikenali dengan panggilan Tok Wok berkata, kerinduannya yang teramat kepada Kaabah menyebabkan beliau mahu kembali ke Tanah Suci melalui pakej umrah murah itu.
“Seronok air mata meleleh menangis tengok Kaabah (wartawan: nenek rasa macam mana) Tak tahu nak cakaplah. Seronok sampai tak tahu nak cakap, masa itu pergi. Itu yang kata kalau ada yang murah ingat nak ikut pergi,” katanya.
Ketika ditemubual di rumahnya di PPR Kerinchi, Tok Wok yang kurang sihat dan menggunakan tongkat untuk berjalan, merasa amat sedih kerana menjadi mangsa penipuan membabitkan ibadah umat Islam itu.
“Kena berhati-hati dengan penipuan… jangan dengar kata (harga murah), itu semua tipu,” katanya mengakui tidak tahu tentang harga minimum RM4,900 yang ditetapkan Majlis Kawal Selia Umrah (MKSU) sebagai rujukan orang ramai.
MKSU diterajui Bahagian Pelesenan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan dianggotai pelbagai agensi dan jabatan berkaitan, termasuk PDRM, Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM), Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) dan Persatuan Agensi-Agensi Pelancongan dan Pengembaraan Bumiputera (BUMITRA).
Rata-rata mangsa ditipu dengan harga pakej umrah murah yang kononnya kos selebihnya ditaja individu tertentu sehinggalah mereka terkandas di lapangan terbang atau pakej umrah dibatalkan tanpa alasan kukuh.
Hujung Disember 2017 menyaksikan 453 jemaah terkandas di Makkah selama beberapa hari kerana tiada penerbangan pulang sehinggalah mereka diselamatkan kerajaan melalui penerbangan khas.
“Penipuan umrah terus berlaku, tapi terdapat ura-ura MKSU akan dibubarkan selepas Lesen Khas Umrah (LKU) dimansuhkan MOTAC pada 1 September lalu. Ini adalah langkah ke belakang,” kata sumber industri merujuk kepada kes penipuan umrah yang terus berlaku.
Sehingga Mei 2019, seramai 274,000 jemaah umrah dari Malaysia direkodkan dan jumlah itu membayangkan betapa pengendalian pakej umrah dan ziarah perlu dipantau dan dikawal selia pihak berkuasa bagi mengelakkan penipuan umrah terus membarah. – AlHijrah Online
Penulis adalah Editor Al Hijrah Online dan sebelum ini pernah membuat liputan khas di Makkah pada 2016 untuk membongkar kes penipuan badal haji.
laporan yang baik. perlu banyak laporan mcm ini untuk dijadikan pedoman.
Terima kasih atas sokongan. Teruskan bersama AlHijrah Online & TV AlHijrah.