Penjara ibu bapa biar anak terbabit dadah

Semakin ramai remaja terlibat dengan najis dadah di Filipina – Foto Sinar Online

MANILA, 23 Januari – Agensi Penguatkuasaan Dadah Filipina (PDEA) berkata ibu bapa yang sengaja membiarkan anak-anak mereka terlibat dengan dadah harus dipenjara, ketika Kongres mengkaji semula cadangan untuk menurunkan had umur membabitkan jenayah kanak-kanak.

Sinar Online melaporkan minggu lalu, PDEA menahan 12 kanak-kanak bawah umur yang didapati menjual dan mengambil bahan terlarang itu semasa serbuan di Pelabuhan Ikan Navotas.

Kebanyakan mereka berusia dari 12 hingga 15 tahun dan paling muda berusia lima tahun.

Pengarah PDEA, Aaron Aquino berkata kanak-kanak terbabit adalah pelajar sekolah tetapi mengaku ponteng kelas setiap kali sarang dadah tersebut dipenuhi pelanggan.

“Kami berpendapat, mana-mana ibu bapa yang membiarkan anak mereka terlibat dengan dadah harus dihumban ke dalam penjara sebagai pengajaran kepada masyarakat,” kata Aquino.

Isnin lalu, jawatankuasa Jabatan Keadilan meluluskan rang undang-undang bagi menurunkan had umur tanggungjawab jenayah kanak-kanak dari 15 tahun kepada sembilan tahun.

Tambah Aquino, PDEA menyokong penuh cadangan itu sekiranya ia mampu menyelamatkan generasi muda Filipina daripada najis dadah.

Leave a Reply