PENUNGGANG MOTOSIKAL MAUT KEPALA DIGILIS TRELER

IPOH: Seorang lelaki maut apabila motosikal yang ditunggangnya terbabas akibat tergelincir sebelum kepalanya digilis oleh treler, malam tadi.
Kejadian berlaku di Jalan Lahat, berdekatan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Puteh sekitar jam 7.10 malam.
Mangsa G. Jesuklal,55, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, motosikal yang ditunggang mangsa dipercayai terbabas ketika melalui jalan licin dan basah disebabkan hujan.
Beliau berkata, keadaan itu menyukarkan mangsa untuk mengimbangi badan sehingga motosikal yang ditunggangnya terperosok ke bawah treler tanpa muatan yang dipandu oleh lelaki berusia 40 tahun dari Kuala Lumpur menghala Jelapang.
Akibat daripada kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala akibat digilis tayar belakang kanan treler dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai Hospital Raja Permasuri Bainun (HRPB) Ipoh.
Manakala pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan dan bebas daripada pengaruh dadah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.–AlHijrah Online