JERTIH: Seorang lelaki maut terperosok ke dalam longkang selepas motosikal ditunggang hilang kawalan apabila dia dipercayai diserang sawan di Kampung Gong Kepas Dalam di sini pagi ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Besut DSP Md Sani Md Saleh berkata mayat Mohd Syafiq Mohd Nasir @Mazlan, 36, ditemukan dalam longkang yang dipenuhi air di tepi jalan kira-kira pukul 7.50 pagi oleh orang awam yang melalui kawasan berkenaan.
“Mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Besut untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu supaya menghubungi pegawai penyiasat Insp Mohd Sidiq Che Omar dengan menelefon 011-31702709 bagi membantu siasatan.
Sementara itu adik lelaki berkenaan Izzul Mohd Nasir @ Mazlan, 31, berkata kejadian berlaku semasa abangnya dalam perjalanan ke surau berdekatan rumah mereka di Taman Perumahan Air Jernih.
“Tempat berlaku kira-kira 50 meter dari rumah, dan kami sekeluarga percaya arwah diserang penyakit sawan ketika menunggang motosikal untuk ke surau. Arwah merupakan jemaah tabligh, setiap hari akan ke surau itu untuk bersolat,” katanya dan menambah abangnya menghidap penyakit sawan sejak kecil.
Izzul berkata abangnya yang menjalankan perniagaan makanan di sebuah gerai di Alor Lintang di sini merupakan bapa tunggal yang mempunyai seorang anak dan tinggal bersama ibu serta ayahnya. –AlHijrah Online