PERAK BENAR SOLAT JEMAAH DENGAN RAPATKAN SAF

IPOH: Semua masjid dan surau di Perak dibenarkan melaksanakan aktiviti keagamaan termasuk menunaikan solat berjemaah tanpa penjarakan fizikal dan merapatkan saf, berkuat kuasa 1 April depan.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah,  ia termasuk solat berjemaah lima waktu dan solat Jumaat dan solat tarawih.

Bertitah pada sesi Sembah Taklimat Aktiviti Masjid dan Surau di Negeri Perak Fasa Peralihan ke Endemik di Bilik Gerakan, Bangunan Setiausaha Kerajaan Perak di Ipoh petang tadi Sultan Nazrin turut menyatakan bacaan al-Quran secara berjemaah, qiamullail dan iktikaf, kuliah serta kelas pengajian agama turut dibenarkan.

“Bagi meminimumkan tempoh pendedahan jemaah kepada udara yang terperangkap dalam bangunan, tazkirah yang dibenarkan selepas solat witir hendaklah tidak melebihi 30 minit.

“Hidangan berbuka puasa atau iftar, moreh dan hidangan sahur di masjid dan surau dibolehkan dengan penyediaan makanan bungkus dan jamuan hidangan terbuka tidak dibenarkan,” titah baginda.

Baginda bertitah, Jabatan Agama Islam dan Adat Melayu Perak (JAIPK) diminta mengeluarkan pekeliling terperinci kaedah dan tata cara pengurusan kebersihan dan sanitasi di masjid dan surau serta memastikan pengaliran udara bersih dalam bangunan setiap hari.

Para jemaah juga diwajibkan memakai pelitup muka dan digalakkan membawa sejadah sendiri untuk meminimumkan risiko jangkitan COVID-19.

Titah baginda, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak dengan kerjasama Orang Besar Jajahan, Pegawai Daerah serta Pegawai Tadbir Agama akan memantau secara teliti dan memaklumkan laporan berkala kepada baginda hasil daripada kelonggaran yang dibenarkan itu.

“Hasil daripada kelonggaran awal itu , akan menjadi penentu dan panduan kepada baginda untuk diperkenankan aktiviti menyambut Hari Raya nanti,” baginda bertitah.–AlHijrah Online / Hamimah Hamid

Leave a Reply