PERANAN ‘ORANG KETIGA’ BOLEH HANCURKAN RUMAH TANGGA – AHMAD MARZUK

KUALA LUMPUR: Setiap pasangan rumah tangga perlu berwaspada dengan ‘orang ketiga’ yang boleh meruntuhkan institusi kekeluargaan sekali gus menjadi punca penceraian.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, bagi mewujudkan hubungan yang harmoni, setiap pasangan perlu berteraskan toleransi, tolak ansur serta komunikasi yang baik.

Namun, Ahmad Marzuk berkata nasihat dan tindakan yang diberikan ‘orang ketiga’ ada kalanya boleh menghancurkan kebahagiaan sesebuah institusi kekeluargaan.

“Orang ketiga bukan hanya merujuk kepada orang luar, rakan sekerja atau rakan karib, malah definisinya juga terpakai kepada ibu atau bapa mertua, serta ahli keluarga sendiri yang menghalang dan merosakkan rumah tangga yang dibina.

“Dalam Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997, terdapat seksyen yang memperuntukkan tentang gangguan orang ketiga dalam rumah tangga iaitu Seksyen 36 (memujuk lari perempuan bersuami); Seksyen 37 (menghalang pasangan yang sudah bernikah hidup bersama); dan Seksyen 38 (menghasut suami/isteri supaya bercerai atau mengabaikan tanggungjawab),” dalam hantarannya di laman Facebook.

Ahmad Marzuk mengulas isu gangguan ‘orang ketiga’ dalam perkahwinan yang menjadi topik yang dibincangkan dalam Program Penerangan, Pencegahan & Kesedaran Undang-Undang Syariah Bagi Jabatan Kerajaan & Agensi Swasta Peringkat Wilayah Persekutuan Siri Tiga 1443H/2021 yang berlangsung semalam.

Menurut Ahmad Marzuk, hasrat Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) adalah bagi memastikan wujudnya sebuah institusi kekeluargaan yang harmoni untuk membina Keluarga Malaysia yang sejahtera.—AlHijrah Online

Leave a Reply