PERANCIS KETATKAN KAWALAN, HAMPIR CECAH 20K KES COVID-19

Last Updated on

PARIS: Perdana Menteri Perancis, Edouard Philippe menegaskan perintah berkurung dikuatkuasakan Selasa lalu untuk membendung penularan koronavirus mungkin dipanjangkan beberapa minggu lagi dan kerajaannya akan mengetatkan kawalan terhadap pergerakan rakyat.

“Ramai warga Perancis ingin kembali hidup normal, tetapi ia tidak akan berlaku esok,” kata Philippe kepada stesen televisyen TF1.

“Kami merasakan langkah perintah berkurung yang telah kami ambil, dan kami akan memperketatkannya… boleh bertahan beberapa minggu,” katanya dipetik agensi berita Xinhua.

Philippe mengumumkan pasar awam terbuka akan ditutup bermula hari ini.

Rakyat dibenarkan pergi berjalan-jalan dengan anak-anak untuk bersenam sekali dalam sehari selama tidak lebih satu jam, dalam radius jarak satu kilometer dari rumah mereka.

Tindakan terhadap mereka yang melanggar peraturan akan menjadi lebih sukar.

Mengenepikan perintah berkurung di seluruh negara, Perdana Menteri Perancis itu menegaskan perintah berkurung boleh dikuatkuasakan mengikut keputusan pihak berkuasa tempatan.

Bandar-bandar Rivera di Nice, Perpignan dan Beziers di selatan Perancis telah dikenakan perintah berkurung mulai Sabtu lalu sebagai tindak balas kepada tindakan ramai orang yangbmengabaikan panggilan untuk menghormati jarak selamat sosial.

Perancis menguatkuasakan perintah berkurung bermula 17 Mac lalu untuk tempoh minimum 15 hari di mana Kerajaan meminta warganya tinggal di rumah dan mengelakkan perjalanan tidak penting.

Hanya perjalanan atas sebab bekerja, keperluan kesihatan atau membeli barangannkeperluan dibenarkan.

Di bawah peraturan baru, warga Perancis yang ingin melakuan perjalanan perlu mengisi dokumen menjelaskan sebab mereka berbuat demikian dan membawa bersama mereka.

Sekiranya didapati melanggar arahan, mereka akan didenda sehingga 135 euro (USD144.8).

Sekitar 100,000 polis digerakkan dan pusat pemeriksaan ditubuhkan di seluruh negara untuk menjamin pematuhan penuh terhadap langkah kawalan wabak itu.

Perancis telah mengarahkan penutupan seluruh institusi dan muzium awam di seluruh negara, menangguhkan acara sukan, menghentikan aktiviti tidak penting ke kafe, restoran, pawagam dan kelab malam.

Sehingga hari ini, Perancis merekodkan 19,856 kes koronavirus dengan 860 kes maut, kata Menteri Kesihatan Olivier Veran.

Dalam 24 jam lalu, lebih 3,176 individu didiagnos dengan virus itu yang meragut 186 nyawa. — Terjemahan AlHijrah Online/ Zamir Akmal Zambri

Leave a Reply