JAKIM LANCAR TABUNG MUSA’ADAH COVID-19

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melancarkan Tabung Musa’adah Covid-19 sebagai inisiatifnya membantu meringankan beban kelompok terjejas akibat wabak itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, sumbangan ke tabung itu boleh dibuat melalui akaun Bank Islam Malaysia Berhad (16027010001528) atas nama Tabung Bencana Alam dengan rujukan Covid-19.

Beliau berkata sumbangan itu bertujuan membantu mereka yang terkesan dengan Covid-19 ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan sehingga 31 Mac depan.

“Diharapkan orang ramai sama-sama berta’awun menggerakkan kutipan dana Tabung Musa’adah Covid-19 JAKIM ini bagi memastikan dana yang dikumpulan ini dapat meringankan beban mereka yang terjejas akibat wabak ini.

“Semoga penyumbang Tabung Musa’adah Covid-19 JAKIM akan mendapat ganjaran daripada Allah swt,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan di FB JAKIM hari ini.

Hadir sama pada majlis pelancaran tabung khas itu di Kompleks Pusat Islam Putrajaya pagi ini ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) JAKIM, Hakimah Mohd Yusoff dan Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris.

Zulkifli turut menyeru seluruh agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN), Majlis Agama Islam Negeri (Main), pertubuhan bukan kerajaan, masjid dan surau untuk sama-sama menggerakkan kutipan Tabung Musa’adah Covid-19. — AlHijrah Online/ Syed Azwan Syed Ali

Leave a Reply