Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

PERSATUAN BULAN SABIT MERAH PALESTIN BEROPERASI SEMULA DI HOSPITAL AL-QUDS

DUNIA

PERSATUAN BULAN SABIT MERAH PALESTIN BEROPERASI SEMULA DI HOSPITAL AL-QUDS

Hospital itu dilengkapi dua bilik bedah, jabatan kecemasan, kawasan penerimaan dan klinik pesakit luar, selain pengaktifan unit rawatan rapi serta jabatan diagnostik seperti radiologi dan makmal, bagi memastikan penyediaan perkhidmatan perubatan yang komprehensif.

Gambar FAIL

GAZA: Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS) beroperasi semula di Hospital Al-Quds di kejiranan Tal al-Hawa, barat Bandaraya Gaza pada Rabu, selepas hospital itu dibom dan dimusnahkan semasa pencerobohan Israel pada November 2023.  

Menurut Agensi Berita Palestin (WAFA), hospital itu mengumumkan bahawa ia akan mula menerima pesakit yang cedera, sakit serta pelawat mulai Jumaat depan pada 9 pagi, walaupun mengalami kerosakan.  

Keputusan itu dibuat selepas perbincangan dengan Jawatankuasa Kecemasan Gaza, mengambil kira keperluan mendesak untuk perkhidmatan perubatan di Gaza dan utara Gaza dalam krisis semasa. Pasukan perubatan dan pentadbiran telah bekerja selama beberapa minggu untuk memulihkan hospital itu di tengah-tengah kekurangan peralatan dan bekalan perubatan yang kritikal.  

Hospital itu dilengkapi dua bilik bedah, jabatan kecemasan, kawasan penerimaan dan klinik pesakit luar, selain pengaktifan unit rawatan rapi serta jabatan diagnostik seperti radiologi dan makmal, bagi memastikan penyediaan perkhidmatan perubatan yang komprehensif.

Pasukan pendudukan Israel telah mengepung Hospital Al-Quds selama beberapa minggu, menghalang kakitangan perubatan dan bekalan daripada masuk sehingga operasi hospital terhenti sepenuhnya.  

Kawasan sekitar hospital itu turut dibom yang memusnahkan sebahagian besar hospital dan merosakkan jabatan kecemasan serta makmal.  

Kru PRCS terus berusaha memulihkan hospital itu di sebalik kemusnahan yang berlaku, dan berjaya memulihkan beberapa jabatan penting, membolehkan perkhidmatan perubatan disambung semula.  

PRCS menegaskan bahawa pembukaan semula hospital itu mengesahkan komitmennya untuk menyediakan penjagaan kesihatan kepada penduduk Gaza walaupun berdepan pelbagai cabaran. —AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DUNIA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading