PESARA MARDI MAUT, ISTERI CEDERA DITETAK PEROMPAK

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga emas yang dipercayai pesara Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) maut manakala isterinya cedera selepas ditetak dalam kejadian samun di kediaman mereka di Bangsar, awal pagi tadi.

Mangsa Wan Hassan Wan Embong, 71, mengalami kecederaan di muka dan leher yang menyebabkan mangsa maut.

Menurut Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar, kejadian dipercayai berlaku pada jam 3.30 pagi tadi ketika kawasan perumahan itu mengalami gangguan bekalan elektrik.

“Menurut isteri Allahyarham, mangsa terdengar bunyi bising di bahagian dapur dan didatangi dua lelaki yang berparang dan meminta duit.

“Wan Hassan cuba untuk melawan dan ditetak oleh suspek, malah isterinya juga ditetak di bahagian bahu.

“Suspek kemudian melarikan barang-barang berharga sebelum melarikan diri mengikut tingkap dapur,” katanya.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Wan Hassan merupakan bekas pengarah bahagian teknologi maklumat MARDI.–AlHijrah Online

Leave a Reply