PKP 2.0: WAKTU OPERASI PERNIAGAAN DILANJUTKAN HINGGA 10 MALAM BERMULA ESOK

KUALA LUMPUR: Kerajaan membenarkan waktu operasi semua sektor perniagaan yang tertentu dilanjutkan sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sehingga jam 10 malam bermula esok.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan tersebut diambil bagi menyelaraskan semula waktu operasi perniagaan membabitkan semua sektor yang diluluskan sebelum ini.

Dalam masa yang sama, ia dapat memudahkan pemantauan dan penguatkuasaan dilakukan ‘Task Force’ Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Sektor perniagaan yang dibenarkan antaranya kedai runcit, serbaneka, farmasi, kedai keperluan harian, kedai makanan haiwan, kedai dobi dan kedai cermin mata yang kita diumumkan sebelum ini.

“Jadi kita seragamkan semua waktu perniagaan bagi setiap sektor yang kita lulus dan benarkan,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Terdahulu, waktu operasi premis menjual makanan dan perkhidmatan penghantaran makanan di negeri-negeri dalam tempoh PKP dilanjutkan hingga jam 10 malam pada 22 Januari lalu.

Kerajaan turut bersetuju untuk membenarkan sektor perhutanan, perkayuan dan rantaiannya yang melibatkan aktiviti pembalakan akan beroperasi esok.—AlHijrah Online

Leave a Reply