INGKAR SOP, HUKUMAN LEBIH BERAT DALAM ORDINAN DARURAT

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang menggubal hukuman lebih berat dalam Ordinan Darurat bagi mengenakan kompaun dan denda bagi kesalahan individu atau syarikat yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, melalui pelaksanaan ordinan tersebut, individu yang dihadapkan ke mahkamah akan dikenakan denda yang lebih tinggi berbanding sekarang.

Ia susulan masih ramai yang gagal mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh Menteri Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memutuskan rantaian COVID-19.

“Saya harap rakyat tidak perlulah sehingga diambil tindakan oleh pihak berkuasa kerana disiplin diri yang paling penting.

“Tuan-tuan perlu patuh kepada setiap SOP yang dikeluarkan kerana SOP yang dikeluarkan bukan untuk menyusahkan rakyat tetapi memastikan kesihatan tuan-tuan dapat dijaga dengan baik,” katanya dalam sidang media.

Terdahulu, Ismail Sabri memaklumkan seramai 494 individu ditahan akibat melanggar SOP sewaktu dalam tempoh PKP.

Dalam jumlah tersebut, seramai 464 individu telah dikompaun sementara 29 direman dan seorang dibebaskan dengan jaminan polis.—AlHijrah Online

Leave a Reply