PKP 3.0 AKAN LEBIH KETAT – MUHYIDDIN

SHAH ALAM: Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebulat suara bersetuju mengetatkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang sedang berkuatkuasa.

Ia merangkumi sekatan yang lebih ketat ke atas sektor ekonomi dan sosial.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri hari ini, perincian tentang sekatan tambahan akan diumumkan dalam sidang media Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada esok (Sabtu).

Tambahnya, sidang khas tersebut turut melibatkan kerajaan negeri bagi mengambil kira situasi semasa di negeri masing-masing serta pandangan terhadap usaha mengekang penularan COVID-19.

“Sidang Khas juga membincangkan status pelaksanaan PKP 3.0 yang sedang berkuat kuasa untuk tempoh empat minggu bermula 12 Mei 2021.

“Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi PKP 3.0 diperketatkan termasuk larangan rentas negeri dan daerah serta sekatan bagi aktiviti sosial, sukan dan rekreasi serta persidangan dan mesyuarat secara bersemuka,” menurut kenyataan tersebut.

Sementara itu, mesyuarat hari ini meneliti pembentangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung status terkini kes COVID-19 termasuk kadar kebolehjangkitan, kapasiti kesihatan setiap negeri dan cadangan tindakan bagi mengawal penularan jangkitan.

Namun begitu, penularan dalam komuniti yang semakin meningkat dan kewujudan varian baharu yang lebih agresif dengan kadar kebolehjangkitan tinggi menyebabkan usaha untuk melandaikan lengkung jangkitan mengambil masa lebih panjang.–AlHijrah Online

Leave a Reply