PKPD DI AMAN JAYA BERMULA TENGAH MALAM INI

KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran dilaksanakan di Aman Jaya, Kedah bermula jam 12 tengah malam ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata PKPD ini berkuatkuasa bermula 28 Ogos 2020 sehingga satu tempoh yang akan dimaklumkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ismail Sabri juga berkata PKPD ini melibatkan tiga zon di Aman Jaya iaitu Kenanga, Mawar dan Melur.

“PKPD secara pentadbiran ini melibatkan 22,360 isi rumah (265 rumah) dan kesemua akan disaring oleh petugas KKM.

“Penduduk di zon terlibat tidak dibenarkan untuk keluar zon manakala orang luar tidak dibenarkan untuk memasuki zon terlibat,” katanya dalam sidang media hari ini.

Menurut Ismail Sabri, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan melaksanakan sekatan jalan raya dan kawalan di jalan keluar masuk zon terlibat.

“Individu yang perlu keluar untuk bekerja tidak dibenarkan untuk keluar dari kawasan sepanjang tempoh PKPD secara pentadbiran.

“Majikan mereka diminta untuk mengambil maklum akan perintah ini dan membenarkan mereka yang terlibat untuk bekerja dari rumah,” katanya.

Ismail Sabri berkata tempat awam seperti masjid dan rumah ibadat serta sekolah dan taska diarahkan tutup sepanjang tempoh PKPD secara pentadbiran.

Tambahnya premis perniagaan yang menyediakan perkhidmatan perlu sahaja, dibenarkan beroperasi seperti kedai makan, kedai runcit, stesen minyak, farmasi, klinik dan hospital.

Selain itu Ismail Sabri berkata hanya ketua keluarga atau seorang dari sebuah rumah sahaja dibenarkan untuk keluar bagi tujuan pembelian barang makan atau keperluan keluarga. — AlHijrah Online

Leave a Reply