PLAZA TOL SHAH ALAM DITUTUP AKIBAT BANJIR

KUALA LUMPUR: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah menutup sepenuhnya Plaza Tol Shah Alam dan Persimpangan Bertingkat berikutan kejadian banjir kilat yang berlaku pada jam 2 petang, hari ini.

Setakat ini, PLUS memaklumkan satu-satunya jalan keluar yang dibuka untuk dilalui ialah di Plaza Tol Subang dan Seafield untuk laluan ke arah selatan dan utara, manakala laluan masuk di Bukit Raja serta laluan Setia Alam ke Shah Alam juga ditutup.

Pemandu yang dapat melalui jalan antara Setia Alam ke Shah Alam dan Subang menghala Shah Alam/Elite dikehendaki membuat pusingan U kecemasan melalui akses sementara yang disediakan PLUS.

Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi, berkata kakitangan PLUS sedang bekerja untuk menguruskan keadaan dan membantu melancarkan aliran trafik.

Beliau turut menasihati pengguna jalan raya mematuhi papan tanda amaran dan arahan pihak berkuasa di lokasi.

“PLUS juga memaklumkan kepada semua pengguna lebuh raya melalui Sistem Pemesejan Berubah (VMS) mengenai penutupan itu dan akan menyebarkan maklumat lanjut sebaik saja ada.

“Maklumat yang dikemas kini juga akan dimuat naik di laman web PLUS http://www.plus.com.my dan platform media sosial termasuk Facebook dan Twitter PLUS Malaysia,” katanya. –AlHijrah Online

Leave a Reply