LIMA JAJAHAN DI KELANTAN BANJIR, 24 PPS DIBUKA

KUALA KRAI: Kelantan mula dilanda banjir berikutan hujan lebat yang berterusan terutama di kawasan ulu negeri ini sejak Khamis lalu.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga jam 4 petang tadi, 24 buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang menempatkan 1614 mangsa banjir daripada 381 keluarga telah dibuka melibatkan lima jajahan iaitu Gua Musang, Jeli, Kuala Krai, Tanah Merah dan Pasir Mas.

Empat sungai utama di negeri ini turut merekodkan catatan melebihi paras bahaya iaitu Sungai Kelantan di Tangga Krai, 26.19 meter melebihi paras bahaya 25 meter, Sungai Kelantan di Jambatan Guilemard 16.26 meter, Sungai Golok di Jenob, Pasir Mas 24.06 meter dan Sungai Golok di Rantau Panjang, 9.28 meter melebihi paras bahaya 9 meter.

Sungai-sungai utama yang lain juga menunjukkan paras air yang semakin meningkat.

Tinjauan di PPS Sekolah Kebangsaan Banggol Guchil, Kuala Krai mendapati kebanyakkan mangsa banjir yang ditempatkan di situ sudah melakukan persiapan awal untuk berpindah berikutan hujan lebat yang berterusan sejak Khamis lalu.

Mereka dari Kampung Guchil 4, Guchil 6 dan Kampung Guchil 7 itu berkata, setiap kali tiba musim tengkujuh, barangan berharga dan alat elektrik akan ditempatkan di atas para tinggi yang dibina atau ada juga yang memindahkannya ke rumah jiran yang berada di kawasan yang tinggi.

Malah ada rumah penduduk di kawasan berkenaan yang hanya mempunyai kelengkapan asas sahaja seperti peti ais dan tv tanpa alat perabot untuk mengelakkan kerugian akibat banjir yang melanda hampir setiap tahun.

Sementara itu, pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) daerah Kuala Krai, Kapten Pertahanan Awam, Abdul Fatah Abdul Aziz berkata, APM Kuala Krai dengan 70 pegawai dan anggota sudah bersedia untuk menghadapi kemungkinan banjir buruk berlaku berikutan hujan yang masih berterusan terutama di Ulu Kelantan.

“Nasihat saya kepada penduduk sekitar atau penduduk-penduduk yang berisiko menghadapi banjir, sila berpindah awal, sebelum keadaan berlaku lebih teruk.

“Kalau boleh berpindah sebelum waktu malam bagi memudahkan pasukan penyelamat memindahkan mangsa yang terlibat,” katanya. –AlHijrah Online

Leave a Reply