MANGSA BANJIR DI PAHANG MENINGKAT KEPADA 1,521 ORANG

KUANTAN: Situasi banjir di Pahang semakin teruk dengan jumlah penduduk terjejas banjir semakin meningkat kepada 1521 berbanding petang semalam hanya 137 mangsa daripada 34 keluarga.

Menurut Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat jam 5 petang tadi 50 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka yang menempatkan 429 keluarga.

Daerah Raub menjadi daerah terjejas banjir tertinggi melibatkan 744 mangsa daripada 221 keluarga yang ditempatkan di 21 PPS.

Kuantan pula mencatatkan peningkatan kepada 266 mangsa daripada 86 keluarga ditempatkan di tiga PPS,  di Jerantut seramai 232 orang daripada 43 keluarga di sembilan PPS, di Lipis seramai 196 orang daripada 54 keluarga ditempatkan di lapan PPS, manakala di Maran seramai 161 orang daripada 43 keluarga yang ditempatkan di sembilan PPS.

Sementara itu, lapan sungai melepasi paras bahaya iaitu Sungai Jelai di Bukit Betong dan Jeti Lipis di Daerah Lipis, Sungai Lipis di Benta, Sungai Tembeling di Kampung Merting Jerantut, Sungai Pahang di Sungai Yap dan Paya Gintong di Jerantut, Sungai Lipis di Batu Malim Raub dan Sungai Pahang di Kuala Krau Temerloh. –AlHijrah Online

Leave a Reply