PM ANWAR UCAP TAHNIAH KEMENANGAN SUHAIZAN, NAZRI

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah di atas kemenangan dua calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.
Menerusi catatan di Facebook, Anwar yang juga Pengerusi PH berkata, beliau amat menghargai keyakinan pengundi pada PRK tersebut terhadap Kerajaan Perpaduan.
“Penghargaan saya buat semua pengundi yang yakin terhadap usaha Kerajaan Perpaduan dalam membangun negara,” katanya.
Perdana Menteri turut menyifatkan kemenangan dua calon PH itu sebagai perkembangan positif bagi Kerajaan Perpaduan dalam memastikan agenda pembangunan dan ekonomi rakyat dapat terus dijayakan.
Terdahulu, calon PH bagi Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat yang juga Naib Pengerusi Amanah Johor menang dengan majoriti 18,641 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Zulkifli Jaafar dan calon Bebas Samsudin Mohamad Fauzi.
Manakala bagi DUN Simpang Jeram, calon PH, Nazri Abdul Rahman menang dengan majoriti 3,514 undi.
Nazri yang juga Timbalan Ketua Amanah Bakri memperoleh 13,844 undi menewaskan Dr Mohd Mazri Yahya daripada Perikatan Nasional (PN) yang mendapat 10,330 undi manakala calon Bebas S.Jeganathan, yang juga ahli perniagaan, hanya meraih 311 undi sekali gus hilang wang deposit. -Alhijrah Online