POLIS CARI ‘MARSHAL’ KONVOI BERHENTIKAN KENDERAAN AWAM

PORT DICKSON: Polis sedang mengesan pengiring atau ‘marshal’ konvoi motosikal berkuasa tinggi yang memberhentikan kenderaan awam di persimpangan lampu isyarat Sua Betong, di sini.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superitenden Aidi Sham Mohamed berkata, video yang dimuat naik di laman Facebook berdurasi satu minit 10 saat menunjukkan aksi ‘marshal’ memberhentikan kenderaan awam bagi memberi laluan kepada sekumpulan penunggang motosikal berkuasa tinggi untuk melepasi lampu isyarat berkenaan.

“Ketika kejadian lampu isyarat jelas berwarna merah dan tujuan tindakan marshal dipercayai bertujuan untuk memberi laluan kepada sekumpulan penunggang motosikal berkuasa tinggi yang bergerak dalam konvoi bagi melepasi lampu isyarat,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Konvoi motosikal berkuasa besar itu dipercayai bergerak dari Lebuh Raya Seremban-Port Dickson (SPDH) menghala masuk melalui lampu isyarat Sua Betong menghala ke Bulatan Sunggala Telok Kemang.

Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Polis dan Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ujar Aidi Sham, peserta konvoi tidak boleh membuat sebarang tindakan memberhentikan, mengawal, melencong kenderaan di jalan awam tanpa sebarang kehadiran anggota atau pegawai polis kerana boleh membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya lain.

“Mereka yang memiliki maklumat berkaitan kejadian diminta beri kerjasama kepada pihak IPD PORT Dickson di Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik atau menghubungi talian terus di talian 06-6472222,” katanya, hari ini.

–AlHijrah Online

Leave a Reply