KULAI: Polis sedang mengesan seorang lelaki yang tular videonya berpaut pada belakang treler yang sedang bergerak di Lebuh Raya Linkedua menghala ke Senai, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kulai Supt Tan Seng Lee berkata, kejadian tersebut disedari pihaknya selepas tular video berkenaan di media sosial.
Katanya, kejadian itu dipercayai berlaku di Kilometer 35 Lebuh Raya Linkedua menghala ke Senai pada pukul 10 pagi Khamis lalu.
“Ketika kejadian, pemandu lori Scania dari Kangkar, Pulai menghala ke kawasan Perindustrian Senai tidak menyedari terdapat lelaki berpaut di belakang kenderaan dipandunya.
“Pemandu terbabit hanya menyedari perkara itu setelah rakannya menghantar video viral berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Seng Lee berkata, pemandu lori berumur 36 tahun itu telah hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kulai bagi siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 47 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 336 Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes diminta tampil di IPD Kulai atau menghubungi Pegawai Penyiasat di talian 0167573507.—AlHijrah Online