POLIS SAHKAN OKT MATI MENGEJUT DALAM LOKAP DI KAJANG

Gambar hiasan –Sumber: BERNAMA

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan seorang lelaki warga tempatan, mati mengejut dalam tahanan di lokap Balai Polis Kajang, dekat sini, semalam.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Datuk Seri Azri Ahmad berkata lelaki berusia 45 tahun itu, telah dituduh di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan tidak mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.

Beliau berkata Orang Kena Tahan (OKT) itu tiada penjamin, dan ditumpangkan di Lokap Balai Polis Kajang sebelum dihantar ke Penjara Satelit Beranang, dekat sini, bagi tahanan reman.

“Namun pada 13 April (semalam) jam 10.32 pagi, anggota bertugas lokap dimaklumkan OKT disyaki sawan dan telah menghubungi pihak hospital. Pihak hospital telah hadir jam 10.45 pagi bagi membuat pemeriksaan, dan membawanya ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

“Semasa dalam perjalanan ke hospital, penolong pegawai perubatan mengesahkan OKT telah meninggal dunia dan punca kematian masih belum diketahui,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau juga memaklumkan, Unit Siasatan Jenayah Kematian Dalam Tahanan JIPS akan menjalankan siasatan berkaitan kes tersebut. –AlHijrah Online

Leave a Reply