POLIS TAHAN PASANGAN BANTU SIASATAN BAYI DITINGGALKAN

SEREMBAN: Polis menahan seorang lelaki dan wanita di Garden Avenue Seremban 2 bagi membantu siasatan berhubung kes bayi ditinggalkan di perhentian bas depan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Sendayan, semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban, ACP Mohd Said Ibrahim berkata, pasangan tersebut ditahan pada jam 7.30 petang semalam.

“Berdasarkan siasatan dan maklumat yang diperolehi, polis menahan seorang perempuan dan lelaki Melayu berumur 26 dan 23 tahun, disyaki kekasih di Garden Avenue Seremban 2 untuk membantu siasatan.

“Mereka akan direman hari ini. Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan, seorang pekerja pembersihan SMK Sri Sendayan menemui seorang bayi yang dibungkus dengan tuala dan diletakkan dalam kotak, di perhentian bas depan sekolah tersebut pada jam 11.58 pagi.

Bagaimanapun, bayi tersebut berada dalam keadaan sihat dan dipercayai berusia dua hari.—AlHijrah Online

Leave a Reply