KUALA LUMPUR: Polis menerima 13 laporan berhubung sebuah akhbar tempatan berbahasa Cina yang menyiarkan ilustrasi Jalur Gemilang dalam bentuk tidak lengkap pada muka hadapan akhbar terbabit pada Selasa.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain ketika mengesahkan perkara itu berkata siasatan dibuat mengikut Sekyen 4(1)(b) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
“Ya, kita ada terima laporan polis dan siasatan sedang dijalankan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata pihaknya akan memanggil individu berkaitan dengan akhbar terbabit bagi mengambil keterangan dalam masa terdekat.
Semalam, tular sebuah akhbar berbahasa Cina tempatan menyiarkan ilustrasi Jalur Gemilang yang tidak lengkap dan tindakan itu mendapat reaksi pelbagai pihak.
Berikutan itu, akhbar berkenaan tampil memohon maaf atas kesilapan memaparkan ilustrasi Jalur Gemilang yang tidak lengkap tanpa bulan sabit pada muka hadapan akhbar terbabit dan menjelaskan ia adalah kesilapan teknikal yang tidak disengajakan. —AlHijrah Online